BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

peminatku..

09 May 2010

SIBUK!!!!!

aku agk sibuk selama 4-5 minggu..n xde mase nk update blog..or blogwalking..

sori tok sume!!
nk dekat final..
so..assignment pon byak arr..hahahaha

sori sumerr...

:p
-mrWann-

04 May 2010

Jadi hamba di rumah anak sendiri


BACA DAN HAYATI DGN HATI YG TERBUKA
SUAMI / ISTERI BOLIH DICARI GANTI TAPI
IBU CUMA SATU DAN TIADA DUA @ TIGA..

Luangkan  masa...

KISAH ini agak berlainan sedikit. Bukan mengenai bercinta dengan isteri orang atau sebaliknya tetapi keluhan seorang ibu tentang nasib
yang dikatakannya tidak sebaik nasib ibu-ibu lain.

Ada kaum wanita menempuh kepayahan hidup di awal remaja dan berubah lebih baik setelah bekerja dan berumah tangga.   Ada pula yang susah ketika
awal perkahwinan dan bahagia akhirnya setelah anak semakin besar. Ada juga susah di penghujung hayat. Inilah yang menyedihkan.
''Nasib saya tidak seperti ibu-ibu di atas, boleh dikatakan hidup saya susah, tertekan jiwa, hati dan perasaan sejak saya remaja hinggalah
setelah bercucu sekarang.
''Mungkin saya salah seorang ibu malang di dunia ini, namun saya taklahkesal. Ini kehendak Allah, saya reda tetapi saya kesal sikap anak
menantu yang membuatkan hati saya hancur seperti kaca terhempas ke batu,''demikian cerita Puan Hamizah dalam surat pendek yang dihantarkannya dan ketika kami berbual petang Isnin lalu.

Sebenarnya sudah beberapa kali kami berbual, tetapi terputus-putus, kerana gangguan cucu menangis dan beliau takut bercakap terlalu lama di
telefon bimbang anak menantu tidak dapat menghubunginya kerana telefon sedang digunakan.. Jadi kami berbual kira-kira enam minit setiap panggilan.
Hinggalah saya faham perasaan hatinya yang terluka selama ini.

''Dah lama sangat saya nak luahkan isi hati saya ini, tetapi tak ada orang yang boleh saya percayai, lagipun kehidupan saya yang terkurung tidak
mengizinkan saya berjumpa dengan ramai orang. Nak cakap dengan jiran takut anak terasa malu. Jadi saya simpan semuanya dalam hati.

'Tetapi apa pun kesimpulan masalah saya ini semuanya berpunca kerana kemiskinan dan kesusahan hidup saya. Kalau hidup kita miskin, anak
menantu pun tak suka, malah menganggap kita menyusahkan hidup mereka sahaja.  Itulah nasib saya.
''Saya ibu tunggal, diceraikan kerana suami nak kahwin lagi, bakal isteri barunya tak mahu bermadu, jadi tinggallah saya bersama empat orang
anak yang masih sekolah rendah dan dua menengah. Kerana anak pertama dan kedua perempuan agak pandai sikit dapatlah dia belajar ke sekolah menengah sains berasrama. Walaupun duduk asrama saya terpaksa hantar duit sebab belanja mereka agak tinggi, macam-macam nak dibeli.

''Saya bekerja keras untuk mencukupkan belanja mereka di samping dua lagi yang bersekolah rendah. Ayah mereka setelah menceraikan saya, nafkah
anak-anak tak diberi. Nak jenguk anak pun takut isteri baru marah. Puas saya pergi pejabat dan turun naik mahkamah syariah tapi gagal dapatkan
nafkah.  Buat habis duit tambang, terpaksa cuti. Akhirnya saya buat keputusan biarlah dia berseronok dengan kehidupan barunya dan jawablah di akhirat
nanti.

''Ketika bercerai saya tak ada rumah, menyewa rumah kecil di kawasan dekat KL memang mudah pergi kerja, tapi sewa rumah tinggi. Selain bekerja,
saya jual kain potong yang orang hantar minta saya jualkan, paling tidak, dapat juga anak-anak berganti pakaian yang mereka berikan. Biarpun terpakai
tetapi masih baru senanglah berpakaian. Kalau besar saya kecilkan.

''Dengan izin Allah anak yang tua sambung belajar buat diploma dua tahun kemudian, yang kedua pula ikut sama. Harapan saya bila mereka bekerja nanti
senanglah sikit hidup saya. Sayangnya saya cuma berharap, Allah yang menentukan.

''Tak sampai enam bulan bekerja dia nak kahwin. Tersentak juga rasa hati, cepat sangat anak saya laku. Walaupun saya minta dia tangguhkan dulu,
sebab tak berduit buat kenduri, tetapi yang lelaki mendesak. Anak saya Izah terpaksa ikut.

''Kenduri kami ala kadar. Kata Izah, bakal suaminya tak suka buat majlis panggil ramai orang, membazir aja. Saya ikutkan memang pun saya tak
berduit lagipun hantarannya tak tinggi cukup buat kenduri saja. Selesai majlis cuma dua malam menantu saya tidur di rumah, mereka terus pindah rumah
lain.

''Dua hari lepas pindah, ketika saya sibuk mengira hutang belum selesai, Izah datang ke rumah bersama suaminya, bertanyakan mana set bilik
pengantin sebab dia nak bawa ke rumah mereka. Izah tahu saya cuma beli katil dan tilam, almari pakaian dan almari solek pakai yang lama lagipun rumah
sewa kami kecil, mana nak muat. Tetapi sebenarnya saya tak mampu nak beli semua benda itu.
''Kerana tak ada set tersebut menantu saya minta beli yang baru. Hutang lagi. Izah tak berani bantah walaupun dia tahu saya tak berduit.
Hutang lama tak selesai hutang baru bertambah. Namun dalam hati kecil saya mengharapkan kalau Izah bagi saya RM100 setiap bulan seperti sebelum dia kahwin,
mungkin hutang itu boleh saya selesaikan. Tetapi sejak Izah kahwin dia tak beri saya duit langsung.

''Waktu itu memang saya susah, mana nak bayar hutang, tiga orang anak lagi tengah belajar, seorang peringkat akhir pengajiannya, sementara
seorang lagi nak ambil SPM, tetapi pada siapa saya nak mengadu, saudara-mara bukan orang  kaya, mereka pun duduk kampung harapkan anak-anak. Namun mereka masih bernasib baik daripada saya kerana ada anak-anak yang menolong. Berbanding saya."

''Kerana terdesak saya minta Izah bantu bayarkan duit periksa adiknya, tetapi kata Izah, dia tak ada duit, semua duit gajinya suaminya pegang.
Kata Izah, suaminya kata, lepas kahwin dia mesti ikut perintah suami bukan emak lagi, syurga bawah tapak kaki suami. Lagipun dia nak simpan duit beli
kereta baru dan rumah.

''Hendak tak nak saya terpaksa tebalkan muka pinjam pada kawan sekerja RM100 janji bayar dua bulan. Ketika Imah habis belajar saya menyimpan hajat
mungkin bila dia kerja nanti dia boleh membantu saya. Imah pula lambat  dapat kerja, dia terpaksa kerja sementara di kilang, memang dia ada bantu
saya cuma beberapa bulan sebelum dapat kerja yang memaksanya pindah duduk nun di selatan.
''Hati saya suka dalam duka. Gembira anak dapat kerja tapi sedih dia terpaksa tinggalkan saya. Di tempat baru dia terpaksa sewa rumah,
untuk tiga bulan pertama, memang dia tak kirimkan saya duit. Sebaliknya saya meminjam bagi dia bekalan sedikit duit semasa pindah. Sekali lagi kawan jadi
mangsa. Tapi saya bayar balik semuanya walaupun berdikit-dikit.

''Anak kedua pun cepat jodoh, tak sampai setahun bekerja dia kahwin orang   sana . Saya buat kenduri kecil, nak panggil ramai orang kita perlu
belanja besar. Asalkan mereka selamat kahwin sudah cukup. Ayah mereka datang untuk izinkan nikah. Tak ada satu sen pun dia keluarkan duit belanja.
''Kalau orang lain gembira anak perempuan mereka cepat kahwin tapi orang susah macam saya cuma tangis mengiringi mereka. Sedih dan takut
apakah Imah juga ikut jejak kakaknya serahkan semua duit gajinya kepada suami. Kalau saya orang senang memang saya tak harap duit mereka, tetapi susah,
merekalah harapan saya.

''Dua orang anak lelaki saya Ismail dan Ishak faham masalah saya. Ismail tolak tawaran buat diploma walaupun dia layak, dia bekerja di kilang,
katanya nak tolong saya dan adiknya habiskan belajar sampai tingkatan lima .Saya menangis mengenangkan pengorbanannya, namun saya terus memujuk
supaya dia terus belajar, biarlah saya susah bekerja dan berhutang, asalkan masa depannya terjamin, tetapi dia menolak, dia terus kerja kilang.
Katanya, dia akan sambung belajar kalau ada rezeki. Tapi sampai kini dia masih kerja kilang dengan pendapatan cukup makan saja. Anak keempat saya pun berakhir dengan kerja kilang.

''Saya cukup sedih, tetapi apakan daya saya tidak ada kemampuan untuk mendesak mereka terus belajar kerana saya pun tak berduit. Ayah
mereka tak ambil peduli selepas dia dapat empat orang lagi anak dengan isteri baru dan masil kecil-kecil.

''Peristiwa itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu, kini badan saya semakin tua, sudah tak berdaya nak bekerja. Untuk menampung hidup, saya jaga
anak orang yang dihantar ke rumah saya. Tetapi bila Izah tak ada pembantu, dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya. Sekarang dah lebih
enam tahun.
''Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat 50 tahun,
badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya memang kelihatan tua.
''Saya fikir bila dia ambil saya tinggal di rumahnya, dapatlah saya ke surau, buat amal ibadah dengan selesa, malangnya sembahyang tarawih
pun jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak cucu.
''Bila sendirian saya selalu menangis mengenangkan nasib. Dari kecil anak saya besarkan, berhutang keliling pinggang untuk menyekolahkan
mereka, tapi bila dah senang suami dia kutip hasil. Kalaulah anak saya menjaga saya, agaknya tak sampai umur saya 65 pasti saya dah mati. Cuma 15 tahun
sahaja dia menjaga saya.
''Tetapi kalau dia ada umur dia akan hidup bersama suaminya lebih 42 tahun iaitu sejak 23 tahun umur dia mula bekerja hinggalah 65 tahun. Jadi
apalah salahnya dia bantu hidup saya yang susah ini dan tolong anak- anaknya melanjutkan pelajaran. Memang tugas ibu membesarkan anak-anak dan
menyekolahkan mereka, dan tak boleh minta pembalasan, itu benar, tetapi saya bukan orang senang, saya susah.

''Apa yang menyedihkan saya ialah hidup dua orang anak lelaki saya sampai bila dia mesti bekerja jadi pekerja kilang. Bukan saya hina pekerja kilang, tetapi mereka pandai, mereka dapat tawaran sambung belajar ke IPTA apa salahnya kakak-kakak mereka menghulurkan bantuan kerana dia tahu saya
susah dan ayahnya tak membantu dan tak pernah beri nafkah. Salahkah saya meminta bantuan?

Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat saya macam hamba abdi? Kalau saya pembantu rumah orang lain tentu dapat imbuhan
tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya tinggalkan semasa
bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan empat orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya.

''Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana duduk menumpang di
rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan tak berharta saya dibuat macam hamba. Nak berbual dengan anak pun terhad, menantu sentiasa
mengawasi, apa lagi kalau nak berbual dengan jiran tetangga.

''Saya amat sedih terutama bila besan atau saudara-mara menantu saya datang ke rumah, saya tunggang-langgang di dapur memasak, mereka cuma
berbual dan menunggu hidangan terhidang, saya betul-betul terhina. Lagi sedih bila menantu bising fasal bil elektrik dan air meningkat.

"Sabun pencuci cepat habis pun merunsingkan fikirannya. Menantu saya terlalu berkira fasal duit. Entah bila penderitaan saya akan berakhir. Saya
sentiasa berdoa supaya saya tidak terlantar sakit terlalu lama sebelum mati. Kerana saya tak tahu siapa nak jaga saya nanti,'' demikian cerita Hamizah
dengan nada suara tersekat-sekat.

Saya hanya tumpang sedih. Apakah zaman ini masih ada anak-anak seperti ini, Benarlah kata Hamizah, kalau diri tak berduit bukan sahaja dihina
orang, anak-anak sendiri pun benci dan tak hormatkan kita. Agaknya mereka terlalu hormatkan suami kerana syurga di bawah tapak kaki suami. Ibu tak
berguna lagi.

Tapi kata seorang teman, suami boleh berganti kalau jodoh dah tiada,  tapi ibu itulah satu-satunya di dunia dan akhirat. Entahlah! Tapi
sayangilah ibu semasa masih ada, kerana doa ibu membawa berkat.

Solat itu buang masa?

Assalamualaikum warahmatullah,

SOLAT ITU BUANG MASA?

Ustaz Hashim sedang memberikan taklimat awal kepada para peserta kursus Modul Solat yang dijalankan oleh saya dan teman-teman di Fitrah Perkasa
Malam ini saya di UIA Kuantan, untuk berkongsi ilmu dengan saudara/i kita di sana dalam tajuk: MUKMIN PROFESIONAL. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan untuk meuar-uarkan gagasan ini.
Mukmin Profesional yang telahpun dijalankan dalam bentuk program dan modulnya sejak 7 atau 8 tahun yang lalu di pelbagai agensi korporat oleh Fitrah Perkasa Sdn Bhd. adalah satu proses “rebranding” (penjenamaan semula) imej umat Islam yang negatif di mata dunia.
Untuk anda sahabat-sahabat yang setia mengikuti kembara Gentarasa – saya ketengahkan satu tulisan untuk dijadikan bahan fikir dan zikir – solat pada pandangan bukan Islam dan orang Islam sendiri. Marilah membacanya dengan nama Allah…
SOLAT ITU BUANG MASA?
“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya ? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya . Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.
“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”
“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”
“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.
“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.
“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.
“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!