Cinta Pertama ... pernahkah anda mengalaminya? Aku yakin, semua orang pernah ada kenangan terhadap cinta pertama. Apakah definisi cinta pertama kepada anda?
Bagi aku, memang indah jika ada perasaan cinta itu menyelinap dan terus menyusup ke dalam kalbu. Memang sempurna hidup kita jika warna-warna cinta menghiasi di jiwa. Namun, tidak semua yang kita impikan, akan menjadi kenyataan. Kadang-kadang dalam keasyikkan menyimpul buih-buih cinta, tiada siapa menduga badai yang menjelma sehingga buih-buih itu berterbangan dan terus lenyap. Kadang-kadang, siapa yang menduga hujan juga mampu turun di tengah hari walaupun cuaca terang-benderang.
Definisi peribadi terhadap cinta pertama – bagi aku cinta pertama adalah laluan hati untuk kita merasai apa itu erti cinta yang sebenarnya. Laluan bagi jiwa untuk mengundang rasa rindu dan laluan bagi kalbu untuk menyimpul bunga-bunga bahagia. Namun, tidak semua cinta pertama akan berakhir hingga ke jinjang pelamin. Alangkah indahnya jika cinta pertama itu berjaya hingga ke jinjang pelamin. Alangkah beruntungnya mereka yang berjaya membawa cinta pertama sehingga ke jinjang pelamin. Namun, itulah hakikat kehidupan ... tidak semuanya indah-indah belaka.
Cinta Pertama juga tidak semestinya cinta sejati kepada seseorang insan itu. Mungkin cinta sejatinya berada pada insan lain namun jika kita tidak membuka pintu hati kita kepada insan itu, bagaimana cinta sejati yang kita dambakan akan hadir untuk menghuni diri kita. Aku akui, sememangnya tidak mudah untuk melupakan cinta pertama. Kadang-kadang, kita masih terkenangkannya walaupun cinta pertama itu sebenarnya amat menyakitkan hati. Kadang-kadang, cinta pertama tidak boleh dibanggakan kerana ia mampu merobek dan mencalar jiwa yang suci. Namun, kadang-kadang aku terfikir, kenapa harus wujudkan perasaan cinta itu di dalam diri sedangkan dia tidak tercipta untuk kita. Adakah untuk kita merasai apa ertinya rindu kemudian diberikan pula kita merasai apa ertinya kecewa. 3 in 1, itulah selayak-layaknya untuk aku mencampurkan kesemua perasaan ini jika cinta kita kecundang di pertengahan jalan.
Pernahkah anda terfikir, kenapa masih ramai yang membujang walaupun usia sudah menghampiri ke penghujung senja (Sama ada lelaki ataupun wanita). Jangan menuduh sembarangan tanpa asas yang kejap. Memilih ... harus memilih agar jiwa tidak tercalar namun yang penting, pernahkah anda sedar bahawa cinta pertamalah merupakan punca utamanya ramai yang memilih hidup membujang. Kadang-kadang, insan takut untuk mengundang cinta itu lagi untuk bertahkta di sanubarinya kerana takut kecewa menghiasai rumah jiwanya semula. Memang sukar untuk membentuk rumah jiwa jika kecewa sudah menghiasi di dalamnya. Kadang-kadang ia mengambil masa bertahun untuk mengubati parah yang hadir. Namun, sampai bila kita harus mengenang cinta pertama jika ia amat menyakitkan? Sampai bila kita hendak menutup pintu hati kepada mereka yang layak bertahkta di dalamnya? Sampai bila kita hendak dingin pada perasaan cinta sedangkan naluri kita amat memerlukannya untuk mengisi kekosongan di dalam jiwa. Sampai bila kita harus menyendiri jika kita tak pernah memberi peluang untuk mengundang cinta sejati? Kadang-kadang, cinta hati kita berada hampir dengan kita Cuma kita yang tidak perasaan kerana terlalu taksub dengan cinta pertama yang menyakitkan hati itu sehingga kita terlepas cinta sejati. Kita harus membuka mata untuk melihat cinta sejati kita agar kita tidak menyesal di kemudian hari sekiranya cinta sejati itu juga terlepas daripada genggaman kita.
Apabila membaca novel cinta, aku terfikir sendiri ... alangkah bahagianya mereka yang telah dipertemukan jodoh masing-masing walaupun banyak rintangan yang terpaksa ditempuhi sedangkan hakikat kehidupan yang sebenarnya tidaklah semudah seperti perjalanan cerita di dalam novel. Oleh itu, anda harus bersyukur jika anda telah dipertemukan jodoh dan hargailah pasangan masing-masing kerana bagi sesetengah insan, tidak mudah untuk bertemu jodoh dan tidak mudah untuk menyerah hati untuk dimiliki.
Kesimpulan yang dapat aku simpulkan disini, kadang-kadang cinta pertama membuatkan seseorang itu hilang kepercayaan kepada lelaki/wanita sehingga keraguan sentiasa timbul di hati mereka untuk mengecapi bahagia. Kadang-kadang mereka sanggup membujang hingga ke akhir hayat gara-gara cinta pertama yang menyakitkan hati. Walau apa pun situasi cinta yang anda alami, satu yang aku harap – hargailah cinta yang hadir kerana sekali ia pergi, susah untuk mengundangnya semula ...
0 org mengumpat:
Post a Comment